Kehamilan - Kos Menyambut Orang Baru

Di sini aku senaraikan barang-barang dan urusan lain yang memerlukan duit tetapi dengan budget sederhana. Aku menulis ni berturutan dari sejak seseorang wanita/isteri anda disahkan mengandung dan anggaran harga pula kemungkinan berbeza mengikut tempat.

TEMUJANJI BULANAN

Klinik kerajaan ? percuma
Klinik swasta ? RM30 ? RM200 bergantung kepada khidmat yang diberi.

PERSEDIAAN UNTUK WANITA/ISTERI

1. Bayaran Bersalin

Hospital kerajaan ? bayaran pendaftaran dan bersalin dibawah RM50.00

Hospital swasta berbintang contohnya Pantai Medical Centre, Damansara Specialist Hospital, SJMC dan seangkatannya, normal ? RM5,000 ke atas, pembedahan ? RM7,000 ke atas

Hospital swasta tak berbintang, normal ? RM1,300 ke atas, pembedahan RM2,500 ke atas.

Jika bekerja dengan syarikat swasta, semak dengan majikan anda kerana kebanyakan syarikat ada menyediakan employee benefits berkaitan hal ini.

2. Pakaian untuk wanita mengandung
Pakaian untuk bakal ibu termasuk:

1. baju mengandung
2. pakaian dalam seperti bra dan seluar dalam khas
3. kasut bertumit rendah/sandal

Harga bergantung kepada di mana tempat ianya dibeli. Kalau yang berjenama sepasang boleh mencecah RM100-200. Beli yang berkualiti tak apa asalkan selesa dan tahan lama. Boleh dipakai bila mengandung di lain kali. Tips untuk jimat, beli kain buat baju kurung dengan pinggang getah (macam pinggang seluar maternity) atau beli jubah. Keduanya boleh dipakai bila tak mengandung.

1. Diet khas

Semasa mengandung bakal ibu dinasihatkan makan makanan yang berkhasiat, ambil kalsium lebih seperti susu segar atau susu tin khas untuk ibu mengandung. Wanita mengandung juga kadangkala mengidam, yang ni kalau kena yang mahal atau susah nak dapat, faham sajalah ya.

Dulu aku teringin makan jeruk buah rambai dan sup ayam belanda (turkey). Jeruk tu mak mertua aku buatkan sebab tak ada orang jual dan yang kelakarnya bab ayam belanda? entahlah kenapa aku rasa teringin sangat nak makan. Sampaikan 3 kali aku termimpikan ayam belanda tu. Nak tak nak aku cakap jugalah pada suami. Geleng kepala dia dan nak tak nak dia cakap jugalah pada pak mertua aku supaya sembelih ayam belanda kesayangan yang dibela di belakang rumah. Rezeki akulah tu sebab ayam tu ada 3 ekor, kalau seekor mesti aku rasa bersalah sangat-sangat. Harganya? Priceless.

Jangan lupa dengan diet lepas bersalin contohnya ikan haruan. Kat kampung aku sekilo RM7-8 yang hidup. Kalau si pemancing tu tangkap sendiri, priceless. Kat KL harganya 2-3 kali ganda.

2. Ubat/supplement sebelum dan selepas pantang

Harga ikut jenama. Anggaran dalam RM10 (akar kayu, ubat tepi jalan, dll) sehingga RM500 seperti set lepas bersalin yang dijual oleh Cosway, Amway, Salindah, Nona Roguy dan lain-lain.

3. Bayaran bidan atau tukang urut selepas pantang

Kalau kat kampung RM30 (3x urut), kat KL RM30 (minima) sekali urut. Ada bidan yang buat khidmat urut, lulur, masak makanan, jagakan anak semasa pantang. Kosnya RM300 ke atas bergantung kepada berapa hari perkhidmatan.

PERSEDIAAN UNTUK ANAK

1. Pakaian

Beli yang besar sikit pun boleh, jangan beli size new born banyak sangat sebab selalunya boleh pakai sekejap saja. Beli yang kain kapas 100%. Harga bergantung kepada ada/tiada jenama.
2. Tempat tidur anak

Pilih antara:

1. Buai (RM50 ke atas) untuk satu set buai. Kalau nak jimat lagi beli set spring dia dan tali gantung di alang rumah. Letak kain batik pun boleh.
2. Baby cot
3. (RM90 ke atas). Kalau nak beli cari yang terus dapat satu set ? tilam, bantal, kelambu. Nak jimat beli baby cot terpakai di kedai perabot. Ini kena rajin surveylah. Selalunya orang guna sekejap saja baby cot ni dan dijual balik bila dah tak pakai. Tidur dibawah dengan tilam & bantal sahaja. Jangan lupa beli cadar dan sarung bantal lebih kerana bayi mungkin muntah atau kencing bocor. Aku tak beli bantal & tilam anak sebab semuanya mak dan mertua aku yang buat dengan kekabu.

1. Makanan anak

Pilih antara:

1. susu ibu ? Priceless
2. susu tin ? RM10 ke atas ikut jenama. Botol susu dan berus botol jangan lupa beli.

1. Suntikan imunisasi dan ubat-ubatan untuk anak

Bila anak dah lahir, esoknya akan disuntik dan seterusnya ikut kad imunisasi bayi. Kosnya ikut jenis suntikan. Anggaran RM30 ? 130 sekali cucuk. Suntikan imunisasi ini boleh didapati percuma di klinik kerajaan.

2. Risiko anak sakit
Kemungkinan kena demam kuning atau bayi tak cukup bulan. Jika diletakkan di dalam kaca, bayarannya dikira lain pula jika di hospital swasta.

3. Barangan peribadi anak
Putik kapas, bedak, losyen, sikat, sabun mandian, besen mandi anak, wet tissue dan sebagainya. Untuk basuh baju anak disyorkan guna Nappikklen (maaf tak pasti ejaan).

4. Lampin

Pilih antara:

1. Kain lampin. Dijual dalam pack sedozen/setengah dozen dengan syarat kena rajin basuh. Jangan lupa beli pin besar dan lapik plastik luarnya.

2. Lampin pakai buang. Size S untuk bayi baru lahir. Harga bergantung pada jenama.

KOS LAIN

1. Duit minyak dan duit poket untuk urusan ulang alik hospital dan kampung jika isteri berpantang di kampung.

2. Anak dijaga oleh siapa selepas ini? Pilih antara:

1. Isteri yang tak bekerja ? Priceless
2. Mak / mak mertua ? bayarlah ikut kemampuan, jangan nak percuma saja
3. Pengasuh/nurseri ? ada yang ambil bayaran pendahuluan. Kena sediakan barang keperluan anak yang lain pula untuk dihantar ke sana.
4. Pembantu rumah ? kalau baru nak mohon (yg asing) banyak juga nak pakai duit.

1. Kenduri kesyukuran/akikah/cukur jambul kalau nak buat pakai duit lagi.
2. Barangan lain seperti kereta tolak bayi (stroller), baby car seat, walker dan lain-lain.

Itulah sedikit sebanyak panduan kos yang aku boleh kongsi. Rancanglah perbelanjaan dengan baik dan buat pilihan mengikut belanjawan anda. Selamat menyambut orang baru, komitmen baru, harta baru. Sekiranya anda dijangkakan mendapat anak kembar, sila gandakan kos untuk barangan anak ya.

Sekali lagi, sampaikan panduan ini kepada bakal ibu dan bakal bapa yang anda tahu kerana anda mungkin menyelamatkan poket si bapa pula!

No comments: