Punca tidak subur

MASALAH lelaki dan kesuburan bukan perkara asing. Malah, lelaki sering mengalami masalah kesuburan disebabkan pelbagai faktor, antaranya berat badan, amalan pakaian dalam, tahap kesihatan, pekerjaan, sejarah kesihatan, perubatan dan pembedahan.

Lelaki gemuk dan ada masalah obesiti mempunyai buah zakar dikelilingi lemak yang mengekalkan susu buah zakar pada tahap tinggi. Ini secara tidak langsung menekan kilang sperma dan menyumbangkan masalah kepada faktor kesuburan.

Pakaian dalam ketat dan menampung buah zakar pula boleh membuatkan suhu buah zakar menjadi tinggi iaitu melebihi suhu sepatutnya (tidak melebihi 33-34° Celsius).

Amalan meletakkan komputer riba di atas riba juga tidak sesuai untuk lelaki, manakala sauna tidak digalakkan kerana mampu mempengaruhi kesihatan fungsi buah zakar.

Lelaki yang mengalami masalah kesuburan perlu menjalani pemeriksaan fizikal oleh doktor berpengalaman. Doktor akan memberi tumpuan kepada anggota kelaminnya, terutama buah zakar untuk meneliti jika isi padu buah zakar normal (isi padu normal antara 12-25ml dan 10 ml yang terendah) dengan menggunakan alat pengukur buah zakar dikenali sebagai ‘Prader Okidometer’.

Doktor juga akan meneliti jika lelaki itu ada ketulan atau benjolan pada buah zakar atau pundi epididimis dan salur sperma yang mana jika ada, ini mungkin petanda kesan ke- radangan atau infeksi lama.

Doktor juga akan meneliti pembuluh darah vena sama ada ia mengembang atau berpintal. Keadaan ini dikenali sebagai varikosel dan ia boleh membuatkan suhu kilang sperma meningkat dan mengganggu proses pembiakan sperma dan kesihatan sperma, selain merosakkan kilang sperma akibat kemendapan bahan toksik, hasil daripada metabolisma sel kilang sperma.

Jika ujian air mani menunjukkan profil sperma teruk seperti bilangan sperma sedikit, bentuk sperma bermasalah dan gangguan pergerakan sperma atau didapati lelaki itu ada varikosel, cara menangani masalah berkenaan ialah membedah varokosel, di mana ia dapat membantu lebih 50 peratus masalah sperma.

Kadangkala varikosel kurang jelas (sukar dikesan dengan pemeriksaan) dapat dikesan menggunakan alat imbasan. Pemeriksaan lanjutan, termasuk menjalani ujian darah untuk menyukat tahap hormon kesuburan, juga boleh dilakukan. Jika hormon didapati rendah, ubat penyubur boleh diberi untuk jangka masa tertentu (sekurang- kurangnya 90 hari) dan ujian air mani serta ujian darah susulan dilakukan untuk mengesan sama ada rawatan itu berjaya.

Daripada penjelasan di atas, lelaki boleh melihat bahawa pemeriksaan kesuburan bukan sekadar membuat ujian air mani dan memberi vitamin. Sebenarnya ia lebih daripada itu.

Masalahnya, tidak ramai doktor berpengalaman mampu melakukan pemeriksaan terperinci dan memberi rawatan lebih komprehensif untuk membantu lelaki.

Jika si suami mengalami masalah ini, pasti pasangan berkahwin sukar mendapat cahaya mata. Namun, jika sperma lelaki atau suami dapat dipertingkatkan sedikit, kemungkinan kaedah IUI (penyemaian sperma dalam rahim ketika isteri subur) dapat dilakukan, yang mana kosnya tidak setinggi kaedah canggih IVF/ICSI (bayi tabung uji).

Bagaimanapun, tiada jaminan lelaki yang ada masalah kesuburan akan pulih dengan cara yang saya jelaskan. Sekurang-kurangnya, lelaki itu menjalani pemeriksaan lebih teliti daripada apa yang sudah dijalani.

Mana tahu, dengan izin Tuhan, lelaki atau suami yang didapati tiada sperma atau mempunyai sperma merosot dapat juga menghasilkan zuriat, insya-Allah.

Sumber : Harian Metro

No comments: